Patriotisme perlu mengatasi perkara lain, kata pemerhati sukan terkenal, Datuk Dr. Pekan Ramli, mengenai isu pampasan melibatkan perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.

Menurutnya, keputusan yang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membayar pampasan "image rights' untuk memastikan Zii Jia mengikut serta dalam saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula hujung bulan ini memperlihatkan betapa terdesaknya badan induk itu untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, Pekan berkata: "Ia satu perkara baru, sejarah yang telah dicipta oleh negara kita walaupun kita bercakap di luar negara ada atlet-atlet profesional, bercakap tentang 'image rights' dan sebagainya.

"Tetapi yang kita bercakap sekarang ini bukan hanya profesionalisme sahaja tetapi ia soal patriotisme itu.

"Kalau kita lihat, dalam sesetengah negara juga, apabila ada yang menolak untuk mewakili negara, sudah pastilah atlet itu akan dikecam seluruh peminat sukan negara mereka.

"Kerana bagi mereka, mewakili negara merupakan satu penghormatan tertinggi.

"Saya nampak ia bukan memberikan satu impak yang positif, ia lebih banyak memberikan impak negatif kepada rakan sepasukan, kepada pemain masa depan nanti.

"Perkara ini kita harap tidak merebak ke sukan-sukan lain berdasarkan apa yang berlaku kepada BAM dan Lee Zii Jia ini kerana ia akan merugikan sukan negara kita," katanya.