Jurulatih, Nova Armada, berkata Goh Jin Wei akan menyertai satu kem latihan khas selepas pememang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu mengesahkan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.

Berbaki tiga bulan sebelum temasya sukan terbesar dunia itu, Nova turut memuji sikap dan semangat Jin Wei, yang dilihatnya semakin meningkat dalam setiap sesi latihan.

"Kami ada sasaran bersamanya," kata Nova kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Perancangan kami mungkin pada awal Jun depan, kami akan mengadakan kem latihan buatnya.

"Sasaran kami bersamanya, kalau boleh untuk layak ke suku akhir (Sukan Olimpik Paris).

"Setakat ini, dia sudah bertambah bagus dalam sesi latihan. Dia juga sudah pasti tidak akan lewat ke sesi latihan setiap hari.

"Adakalanya, dia juga sudah boleh melalui dua sesi latihan tetapi masih belum setiap hari.

"Tetapi bagi saya, ia sudah mencukupi," katanya.