Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan Final Badminton Dunia BWF apabila mengalahkan wakil Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Kim Won-ho, hari ini.

Beregu profesional negara -- yang turun berjuang di Bangkok itu -- secara tidak langsung menamatkan kemarau kemenangan ke atas lawan itu pada tahun ini selepas selepas tumpas dalam dua pertemuan.

Namun, kali ini Yew Sin-Ee Yi memberikan satu persembahan bertenaga dalam kemenangan 21-17, 22-21.

"Ketika kami sedang mendahului 20-17 (dalam set kedua), kami (mula) terikut-ikut dengan strategi pihak lawan yang gemar pukulan deras dan di situlah kami membuang mata.

"Apabila 20-20, kami kembali fokus kepada pelan asal," kata Ee Yi yang tewas 2-0 dalam perlawanan menentang juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, semalam.




Yew Sin sebaliknya berpandangan Sol-gyu-Won-ho memberikan tentangan sengit tetapi permainan kemas memastikan mereka untuk lebih unggul, sekali gus menjadi rentak terbaik buat mereka menghitung nasib dalam aksi terakhir Kumpulan B bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dari Indonesia, yang sudah menempah tempat ke pusingan seterusnya.

"Kami fokus setiap mata dan walaupun mendahului selesa, kami saling mengejar mata dan di penghujung perlawanan, kami tetap fokus hingga mencapai mata ke-21," katanya.