Juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melaungkan amaran bahawa mereka sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, Thailand minggu depan.

Menurut Aaron, persiapan untuk kejohanan terakhir tahun ini juga berjalan dengan lancar, namun ketika ini enggan menyatakan sasaran dalam kejohanan berkenaan.

"Kami sudah bersedia untuk ke Final Jelajah Dunia BWF 2022 minggu depan," katanya.

Untuk rekod, antara yang turut akan bersaing di Bangkok adalah pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan gandingan profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, dilaporkan berharap Aaron-Wooi Yik dapat melepasi saingan peringkat kumpulan kejohanan itu.

Siri Jelajah Dunia Akhir BWF 2022, yang menawarkan hadiah wang berjumlah AS$1,500,000, dijadualkan berlangsung di Arena Nimibutr dari 7 hingga 11 Disember ini.

Kredit: Sinar Harian