Ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, melahirkan rasa gembiranya terhadap penampilan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7.

Sehubungan itu, jurulatih berusia 58 tahun itu berkata Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, yang juga peminat nombor satu badminton, pastinya akan memberi sumbangan terhadap sukan itu di Malaysia.

"Sudah tentu saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah yang mana mereka juga adalah peminat nombor satu badminton negara sejak dari dulu lagi.

"Dengan adanya beliau dalam kerajaan baru ini, saya percaya sumbangannya dalam sukan badminton ini tidak pernah kurang, malah terus bertambah," katanya dalam Nadi@1, hari ini.

Misbun berkata demikian sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand, kelmarin untuk mengiringi skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas yang akan membuka tirainya, esok.

Mengulas mengenai kejohanan itu, Misbun berkata: "Dengan persiapan yang kita telah jalankan sepanjang beberapa bulan lalu, saya lihat pasukan kini berada dalam keadaan yang bersemangat.

"Saya berharap semua pemain perseorangan mahupun beregu mampu bergabung bagi merealisasikan impian menamatkan kemarau 26 tahun tanpa kejuaraan."

Dr. Mahathir kembali menerajui negara selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu.