Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia yang mencecah angka 4,865 kes hari ini turut memberi tempias impak kepada sukan di Malaysia terutama buat atlet yang akan berjuang di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad badminton negara adalah contoh yang terkesan apabila tidak dapat memberi kebenaran pemain keluar kem kuarantin berpusat selagi persekitaran di luar Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, tidak selamat buat bintang negara seperti Lee Zii Jia.

Semalam, pemain kelahiran Kedah itu sendiri mendedahkan betapa kali terakhir dia berjumpa keluarga adalah pada Disember lalu.

Berdasarkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, penantian pemain perseorangan kelapan dunia itu untuk pulang ke kampung halaman mungkin berpanjangan.

Ancaman COVID-19 pernah menjadi realiti buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan kes positif membabitkan 15 pemain disusuli program suntikan vaksin, bulan lalu.





Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, mengakui inilah cabaran luar biasa yang perlu dihadapi pemain negara termasuk gandingan beregu lelaki; Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, yang sudah layak ke Jepun.

"Kami belum terfikir untuk membubarkan kem kuarantin berpusat kali ini lagi, tengok situasinya bagaimana.

"Kami perlu belajar menangani senario ini kerana situasi COVID-19 ini asyik berubah, susah untuk ikut rentaknya.

"Pemain juga sudah ada pengalaman berdepan situasi ini, kami mungkin mengambil pendekatan berhati-hati untuk membolehkan atlet berjumpa keluarga dalam situasi selamat dan terkawal," katanya dalam temu bual maya bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini.

Keadaan ini menyukarkan badan induk itu untuk merancang persiapan menjelang kempen sebenar Julai depan dengan senario paling baik buat atlet ketika ini adalah dengan mengadakan kem bina semangat.

Buat sementara ini, kami hanya menjalani latihan dan sebaik PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir, kami merancang untuk mengadakan satu kem motivasi."