Perseorangan lelaki meningkat naik, Lim Chong King, mengidam untuk menambah satu lagi kejuaraan di peringkat senior apabila bakal menyertai dua kejohanan berturut-turut di Australia bermula minggu depan.

Chong King bakal smenyertai saingan badminton antarabangsa Australia Selatan di Adelaide bermula Khamis depan dan seterusnya mengharungi satu lagi Kejohanan Antarabangsa Sydney minggu selanjutnya.

Dia yang kini berada di ranking ke-255 dunia berhasrat untuk menambah satu lagi koleksi kejuaraan memandangkan dia sebelum ini merangkul kejuaraan senior yang pertama dalam Terbuka Hellas, Greece bulan lalu.

"Saya akan cuba yang terbaik. Ini merupakan kejohanan yang lebih sengit sementara lawan yang hadir berada di ranking yang lebih tinggi," kata Chong King.

Namun, ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan dia terpaksa berlatih tanpa bimbingan jurulatihnya, Hendrawan, yang kini sedang menemani pemain senior, Lee Zii Jia, beraksi dalam Terbuka Taiwan.

Selain Chong King, dua lagi perseorangan muda negara yang akan turut menemaninya beraksi dalam kejohanan itu adalah Ng Tze Yong dan juga Aidil Sholeh Ali Sadikin.

"Walaupun tanpa kehadiran jurulatih utama, saya meneruskan latihan dengan program yang ditetapkan dengan bimbingan mana-mana jurulatih yang ada di sini."