Selepas hampir sebulan tanpa kejohanan sejurus tamat Masters Indonesia 2023, pasangan beregu wanita profesional, Lim Chiew Sin-Vivian Hoo, menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki kekurangan dalam gelanggang sebaiknya.

Menurut Vivian, mereka berada pada tahap terbaik dan persediaan yang dilakukan ketika ini seiring dengan permintaan ketua jurulatih, Rosman Razak yang bakal memberikan impak dalam perlawanan yang akan datang.

"Kami memiliki hampir sebulan untuk menjalani latihan yang lengkap dan ia telah memastikan kami berada di tahap terbaik sebelum menghadapi saingan akan datang," kata Vivian.

Dalam masa sama, Chiew Sin berkata fokus sememangnya diberi kepada mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 dan Terbuka Jerman yang akan membuka tirai pada 7 Mac bakal menjadi medan terbaik buat pasangan beregu wanita untuk kembali dengan aksi yang lebih baik.

"Saya berpendapat kami sedang berusaha untuk mengumpul mata layak ke Sukan Olimpik. Kami telah menjalani latihan dan merencana perancangan untuk perlawanan. Buat masa ini kami perlu mencari jalan untuk memastikan ia berhasil," kata Chiew Sin.