Pemain beregu wanita negara, Lim Chiew Sien, menjadikannya satu ketaksuban untuk menggantikan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei selaku pasangan terbaik Malaysia sebagai motivasi, apatah lagi dia kini sudah memiliki gandingan serasi.

Pasti ada yang tertanya siapakah pemain ini. Chiew Sien memulakan kerjaya sebagai pemain perseorangan, termasuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Myanmar 2013.

Tetapi, pemain berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu mengubah haluan ke skuad beregu dua tahun lalu dan bergandingan sekurang-kurangnya dengan lima pemain berbeza.

Musim ini menyaksikan dia membentuk persefahaman yang baik bersama bakat daripada skuad remaja 2016 negara, Tan Sueh Jeou.

"Saya fikir ia akan berjalan baik kerana gandingan saya dengan Sueh Jeou kini semakin baik dan baik.

"Gaya permainan kami begitu sesuai untuk satu sama lain kerana dia menggunakan tangan kiri dan saya pula kanan," ujarnya.

Atas dasar itu, Chiew Sien berpandangan dia sudah menemui matlamat untuk memastikan dia akhirnya mencipta impak bermakna dalam skuad ini seperti yang pernah dilakukan Vivian dan Khe Wei.

"Sudah tentu saya fikirkan tentang perkara itu. Sebenarnya saya memikirkan mengenai perkara itu setiap masa.

"Jadi, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan berusaha keras untuk mengejar mereka secepat mungkin," katanya lagi.

Chiew Sien mungkin akan menjadi pemain sandaran negara dalam acara beregu wanita setelah menjadi naib juara Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Indonesia tahun ini.

Pencapaian Lim Chiew Sien:

• Emas Kejohanan Remaja Dunia 2011 (berpasukan)
• Juara Siri Antarabangsa India 2016
• Naib Juara Antarabangsa Indonesia 2018
• Naib Juara Antarabangsa Malaysia 2018
• Naib Juara Antarabangsa Poland 2015