Malaysia mungkin boleh menarik nafas lega setelah cadangan untuk mengubah format mata dalam badminton ditolak menerusi persidangan mesyuarat agung tahunan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Sabtu lalu.

Namun ia tidak bermakna cadangan itu tidak akan kembali semula pada masa akan datang, dengan Malaysia perlu bersiap siaga menghadapi kemungkinan tersebut.

Undian yang berlangsung ketika mesyuarat agung tahunan BWF Sabtu lalu menyaksikan sebanyak 66.31 peratus bersetuju dengan cadangan perubahan format itu, sementara 33.69 peratus berpendirian sebaliknya.

Meskipun majoriti, namun belum mencapai keputusan dua per tiga keseluruhan undian sekaligus cadangan tersebut ditolak.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, yang dilantik sebagai ahli majlis BWF untuk penggal baru, 2021 hingga 2025 berasakan kebanyakkan negara belum sedia untuk terima perubahan tersebut kerana ia belum diuji di mana-mana kejohanan dalam tempoh ini, bagaimanapun tidak menolak usul sama mungkin dibentangkan pada masa akan datang.

"Ia mungkin berlaku tetapi BWF tidak memberikan penerangan yang mencukupi. Jika mahu melakukan perubahan, ia seharusnya memberikan kebaikan dan menjadi sukan itu menjadi lebih menarik," katanya.