Kemenangan Tan Jia Wei menyaksikan dia membawa harapan perseorangan negara untuk mengulangi kejayaan muncul juara seperti yang dilakukan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia tahun lalu.

Jia Wei dikerah sebelum mengatasi wakil Indonesia, Nugraha Krishna Adi, menerusi kemenangan 19-21, 21-12, 21-18 dalam suku akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, malam ini.

Walaupun dia berada di landasan terbaik untuk ke pentas final, Jia Wei tidak mahu menanam harapan terlalu tinggi kerana keutamaan adalah melepasi cabaran dalam separuh akhir terlebih dahulu.

"Mengharungi kejohanan ini adalah cabaran untuk saya. Saya akan cuba mempamerkan persembahan terbaik bagi meningkatkan mutu permainan saya," kata Jia Wei.

Ia bukan cabaran mudah buat Jia Wei yang dalam usaha untuk memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia.

Kerahan tenaga Jia Wei begitu ketara selepas memastikan mata akhir milik Malaysia dengan menyifatkan aksi hari ini adalah yang terbaik pernah ditonjolkannya.

"Saya tidak sangka dapat meraih kemenangan berdepan lawan dari Indonesia, saya sangat gembira di atas kemenangan ini."

Di peringkat separuh akhir esok, wakil negara itu akan berhadapan Vitidsan Kunlavut dari Thailand yang mengatasi wakil China, Bai Yupeng, dalam aksi suku akhir.