Perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong, meneruskan rentak cemerlangnya di pentas antarabangsa dengan menjuarai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Belgium di Leuven lewat malam tadi.

Selepas muncul naib juara Terbuka Republik Czech minggu lalu, pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pilihan kelima dari India, Ajay Jayaram, untuk merangkul gelaran keduanya tahun ini.

Tze Yong mempamerkan aksi meyakinkan ketika kedudukan terikat di angka 11 sebelum memacu mata demi mata untuk memenangi set pertama 21-14.

Meskipun berdepan lawan di kedudukan ranking lebih baik dan jauh lebih berpengalaman, pemain kelahiran Johor itu mengekalkan ketenangannya dan tidak pernah ketinggalan sebaik kedudukan terikat 2-2 untuk menamatkan pertarungan selama 33 minit itu dengan kemenangan 21-14 dalam set kedua.

Sebagai rekod, kejuaraan di Belgium itu merupakan gelaran kedua Tze Yong tahun ini selepas menjuarai Terbuka Poland pada Mac lalu.

Dia juga pernah bergelar juara Cabaran Antarabangsa Australia Selatan pada 2019.