Isu penajaan menjadi dilema buat bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong, yang masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerima pelawaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali bermain dalam skuad kebangsaan.

Bulan lalu, BAM mahu Boon Heong kembali ke kem kebangsaan bagi memperkuatkan Malaysia untuk saingan Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Namun, hingga kini Boon Heong masih belum memberikan kata putus, dan salah satu sebabnya adalah melibatkan penajaan peribadi yang diterimanya bercanggah dengan penaja BAM.

Tetapi jauh di sudut hati Boon Heong, dia masih memiliki keinginan untuk membantu kem negara meskipun sudah tiga tahun meninggalkan skuad kebangsaan.

"Saya mahu tolong skuad negara tetapi terdapat perkara yang tidak dapat persetujuan daripada segi penajaan saya," katanya.

Selain keinginan BAM yang mahu Boon Heong terus bersama kem negara hingga Sukan Olimpik Tokyo 2020, turut dibincangkan adalah siapa individu yang bakal menjadi rakan beregunya.

Ketika ini, skuad utama beregu lelaki dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan pasangan muda Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani.

"Melibatkan Malaysia, saya akan cuba untuk memberikan bantuan," ujarnya lagi.