Skuad beregu wanita akur dengan prestasi tidak menentu dalam Kejohanan Berpasukan Badminton Asia yang menyaksikan mereka gagal mencipta impak ketika separuh akhir menentang Jepun.

Aksi kurang menyerlah beregu utama, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, selepas aksi peringkat kumpulan dan suku akhir memaksa barisan kejurulatihan mengambil strategi berbeza.

Bagaimanapun, pendekatan menampilkan gandingan bidan terjun tidak berhasil menggugat wakil Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota sepanjang pertemuan itu.

Keserasian segera yang diharapkan daripada kombinasi Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen bertukar sebaliknya apabila mereka bergelut untuk menyaingi Fukushima dan Hirota.

Mereka tewas mudah dengan keputusan straight sets 21-13, 21-13.

Kapten pasukan dan gandingan asal Meng Yean, Mei Kuan, menawarkan perspektif yang dihadapi skuad beregu meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Uber secara merit di sebalik kekecewaan ke atas prestasi sendiri.

"Kami gembira kerana layak beraksi dalam Piala Uber. Secara keseluruhannya, semua pemain telah melakukan yang terbaik.

"Cumanya ada ketika, kami tidak konsisten. Secara kolektif, kami telah lakukan yang terbaik kerana saling membantu antara satu sama lain," kata Mei Kuan.