Perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, berharap dapat memperkemaskan lagi anggota belakang tadbirnya selepas memilih Indra Wijaya sebagai jurulatih peribadinya.

Dia -- yang sedang membantu pasukan lelaki dalam Kejohanan Berpasukan Asia 2022 di Pusat Konvensyen Setia City -- menaruh harapan pelantikan itu mampu memacu kariernya selepas memutuskan meletakkan jawatan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Benar, Indra Wijaya akan menjadi salah seorang anggota pasukan saya.

"Selepas ini akan ada lagi pakar fisioterapi, jurulatih lain dan berharap dapat bawa mereka ke Terbuka Jerman (awal bulan depan)," katanya.





Pemain di ranking ketujuh dunia itu yang giat menubuhkan Kelab Badminton Zii Jia perlu menunggu kontrak Indra selaku jurulatih perseorangan wanita BAM berakhir, hujung bulan depan.

Tambahnya, mereka telah saling mengenali sejak di peringkat akar umbi lagi jadi tiada masalah untuk serasi.

"Saya sangat gembira dapat bekerjasama semula dengan Indra. Dia pernah membimbing saya sebagai pemain remaja sebelum beralih ke skuad pelapis.

"Dia salah seorang jurulatih yang pernah menggilap bakat saya.

"Dia seorang jurulatih yang sangat sayangkan anak buahnya. Dia sangat fokus dengan pemainnya dan banyak memberi nasihat.

"Dia layan saya seperti anaknya," katanya.