Kedudukan jurulatih dan pemain kebangsaan bakal diputuskan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tamat Kejohanan Masters Malaysia awal bulan depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, berpendapat prestasi skuad badminton negara sepanjang musim 2019 patut dibanggakan selepas agak suram pada awalnya.

Kejayaan barisan pemain muda dalam Sukan SEA Filipina memberikan sinar buat skuad negara bagi meneruskan momentum untuk musim 2020 tatkala Sukan Olimpik Tokyo menjadi keutamaan.

Justeru, badan induk itu yang akan mengadakan mesyuarat majlis ketika berlangsungnya Masters Malaysia, bakal melakukan rombakan dan penstrukturan semula membabitkan jurulatih dan pemain dalam pasukan kebangsaan.

"Kami dalam proses untuk mendapat kelulusan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM dan mengadakan mesyuarat ketika saingan Masters Malaysia dijalankan. Kami akan kemas kinikan perancangan, terutama bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024," katanya.

Kejohanan Masters Malaysia akan membuka tirai di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 7 Januari ini dalam saingan yang menyaksikan beberapa pemain utama dunia bakal beraksi, antaranya pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun.

"Kami percaya bahawa proses dalam melahirkan pemain bakat baru sudah mula menampakkan hasil. Diharapkan semua bersabar kerana jika dilihat sewaktu Datuk Lee Chong Wei baru bermula, dia mencapai tahap terbaik ketika berusia 25 atau 26 tahun," tambah Norza.


Editor: Nafis Abdullah