Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebentar tadi mengesahkan bahawa enam pemain yang baru pulang daripada Cabaran Antarabangsa Sepanyol 2021 didapati positif COVID-19.

Bagaimanapun, kesemua yang disahkan positif itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan telah diletakkan dalam kuarantin wajib seperti yang ditetapkan pihak berkuasa sebaik pulang ke Malaysia.

"Mereka (yang diuji positif) tidak pernah berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak pulang dan tiada sebarang interaksi dengan pemain negara yang sedang bersiap ke Sukan Olimpik Tokyo," tambah kenyataan itu

"Kesemua enam pemain itu hanya akan mendaftar masuk ke dalam ABM selepas pemain yang sedang dalam persiapan ke Sukan Olimpik berlepas ke Jepun.

"BAM mendoakan yang terbaik buat enam pemain itu dan berharap mereka pulih tidak lama lagi."