Beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, mengakui masih dalam membentuk keserasian tetapi gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan meskipun baru bergandingan dalam dua kejohanan setakat ini.

Peng Soon menegaskan dia tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya cuba sedaya upaya untuk mara sejauh mungkin menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai Selasa depan selepas mula bergandingan dalam Kejohanan Masters Indonesia serta Terbuka Indonesia awal bulan ini.

"Setakat ini OK, nampak ada peningkatan.

"Dulu dengan pasangan berbeza jadi setiap pemain ada kelainan masing-masing.




"Memang kami perlukan sedikit masa tapi sekarang ini berjalan lancar.

"Yang penting dia memiliki mentaliti tinggi," katanya ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Peng Soon-Yee See dijadualkan berdepan wakil Indonesia yang kini menghuni ranking ke-19 dunia, Rinov Rivaldy-Mentari Pitha Haningtyas, dalam pusingan pertama.

"Saya harap boleh menang sebagai pemangkin semangat dalam pusingan seterusnya.

"Kami mahu menikmati permainan dan bermain bagus di tempat sendiri," katanya lagi.




Dalam perkembangan sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu teruja untuk beraksi di laman sendiri, Axiata Arena, Bukit Jalil, menerusi sorakan padu peminat tempatan.

Bagi atlet kelahiran Pulau Pinang itu, kehadiran penonton pastinya akan membantu menyemarakkan lagi semangat pemain.

"Saya sangat teruja sebab stadium akan penuh.

"Saya sangat gembira dengan berita ini sebab penyokong beramai-ramai datang berikan sokongan.

"Saya sendiri hendak beli pun tidak boleh," katanya.