Jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How, berkata kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami Anna Cheong perlu dipantau sekurang-kurang dalam empat ke enam minggu sebelum satu perancangan rapi ditentukan.

Seandainya proses pemulihan itu mengambil tempoh yang terlalu lama, barisan kejurulatihan negara akan menyediakan satu perancangan berbeza buat rakan gandingannya, Teoh Mei Xing.

Anna disahkan mengalami kecederaan itu sewaktu menjalani latihan dan ia difahamkan merupakan satu kecederaan yang sudah lama dialaminya.

Thien How berkata kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly: "Kecederaannya agak serius juga cuma dia masih boleh berjalan seperti biasa dan sedang menjalani pemulihan menguatkan kakinya.

"Kemudian barulah dia boleh kembali bermain untuk melihat keadaannya.

"Sekarang masih belum tahu (perancangan) kerana dia perlu menjalani pemulihan empat hingga enam minggu.

"Selepas tempoh itu, kami akan menunggu keputusan daripada ahli fisioterapi untuk mendapatkan kebenaran sama ada dia boleh kembali ke gelanggang atau tidak.

"Kalau dia boleh menjalani latihan macam biasa, kami akan merancangkan kejohanan buatnya.

"Tetapi kalau dia tidak boleh menjalani latihan seperti biasa, kami akan merangka perancangan baru buat Mei Xing," katanya.