Kemenangan beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-lin, 12-21, 21-17, 21-15 menyaksikan mereka satu-satunya wakil negara ke separuh akhir.

Selepas pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri ekoran kecederaan sementara beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir, kini harapan diletakkan kepada Yew Sin-Ee Yi yang sedang memburu slot ke final.

"Kami tidak terlalu berfikir banyak dalam perlawanan ini, fokus utama adalah memastikan kemenangan untuk mara ke separuh akhir," kata Yew Sin.

"Walaupun kami tewas dalam set pertama, saya dan Ee Yi kekal positif dan cuba memperbaiki permainan kami."

Beregu profesional itu bakal membuat perhitungan dengan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun untuk mengintai tiket ke final.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia mara ke final Kejohanan Dunia ialah menerusi Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong pada 2010.

"Bertemu beregu Jepun dalam aksi separuh akhir cukup sukar kerana mereka memiliki kemahiran yang sangat tinggi sementara pantas dalam melakukan gerakan, itu bakal menjadi cabaran utama yang perlu kami hadapi," kata Ee Yi.

Kejayaan Ee Yi-Yew Sin mara hingga ke separuh akhir sekaligus menjaminkan pingat gangsa buat negara.

Ini telah menarik perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mempertimbangkan mereka dalam pasukan Piala Thomas tahun hadapan.

"Kami perlu melihat secara menyeluruh bagi perancangan tahun depan, kami akan mengambil kira setiap aspek kerana jadual padat yang perlu dihadapi para pemain negara," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.