Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng, akhirnya berkongsi visi sebenar buat perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.

Selepas empat kejohanan dilalui bersama, Tat Meng sudah dapat lihat perkembangan yang memuaskan hasil program yang diterapkannya.

Bagaimanapun, dengan tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah semakin suntuk, Tat Meng sedar misi menjadikan Zii Jia seperti yang diidamkan perlu disegerakan.

Sebagai rekod, Zii Jia menamatkan kempen Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark minggu lalu dalam pusingan 16 selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Anders Antonsen.

"Selepas empat kejohanan ini, saya rasa Zii Jia sudah menunjukkan perkembangan yang bagus. Saya dapat lihat dia berada di landasan yang betul. Apa yang dilakukannya dalam latihan, dia sudah mula keluarkan, terutama dalam kejohanan ini," kata Tat Meng kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.

"Permainannya sudah mula berubah. Sebenarnya, saya mahu membentuknya sebagai pemain yang sempurna.

"Jika dia mahu menjadi pemain terbaik, dia perlu menjadi pemain yang lengkap dan tidak boleh bergantung kepada tenaga sahaja.

"Kalau mahu pergi jauh, dia perlu melengkapkan dirinya sendiri.

"Tetapi saya dapat melihat perubahan dalam dirinya. Dia sudah cuba melakukannya tetapi masa agak suntuk dan saya masih belum berjaya.

"Saya harap satu masa nanti kita akan dapat lihat Lee Zii Jia yang baru," katanya.

Mengenai jangka masa yang diperlukan untuk melihat Zii Jia yang sempurna, Tat Meng menambah: "Saya mahu secepat mungkin tetapi masa latihan dan kejohanan terlalu dekat, jadi ia satu cabaran yang besar buatnya.

"Ia kerana dia perlu mendapatkan keputusan yang baik dalam kejohanan dan dalam masa sama perlu menyesuaikan diri dengan latihan dan belajar gaya permainan baru.

"Ia satu cabaran buatnya dan saya harap dia dapat melakukannya," katanya.