Perjalanan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF tamat dalam pusingan ketiga selepas tewas kepada pasangan pilihan kelima tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mempamerkan aksi terbaik mereka tetapi masih ada jurang kualiti ketara dengan beregu nombor lima dunia berkenaan, sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 16-21 dalam masa 44 minit.

Terdahulu, satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, turut terkandas selepas ditundukkan gandingan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

Selepas bertarung selama 49 minit, beregu negara itu terpaksa akur dengan kekalahan 13-21, 16-21, sekali gus gagal menempatkan diri ke suku akhir.