Langkah perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF terhenti setakat pusingan ketiga selepas tewas kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng, di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.

Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia, yang menarik diri daripada mewakili negara dalam Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini, seakan-akan terperangkap dengan permainan lawan sebelum tewas dalam aksi tiga set.

Bagaikan ada yang tidak kena dengan jaguh negara itu pada penghujung set pertama sehingga dia ketinggalan 20-16 dan biarpun cuba melakukan kebangkitan, Zii Jia terpaksa akur melepaskan set berkenaan dengan kekalahan 21-19.

Aksi lebih baik dipamerkan pemain berusia 24 tahun itu dalam set kedua, di mana dia tidak pernah ketinggalan sejak mengikat kedudukan 2-2 sebelum mencatatkan kemenangan selesa 21-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, skrip dalam set pertama kembali berulang dalam aksi penentuan, di mana Zii Jia mensia-siakan kelebihan mendahului 14-10 sebelum tewas 21-19 selepas bertarung selama sejam dan lima minit untuk akur gagal ke suku akhir.