Dua beregu campuran negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF selepas menewaskan lawan masing-masing di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini.

Pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menumbangkan beregu pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Gandingan negara itu hanya memerlukan 38 minit untuk mencatatkan kemenangan 21-16, 21-14, sekali gus akan bertemu pilihan ketiga tuan rumah, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Turut cemerlang adalah pasangan pilihan kelapan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang tidak berdepan masalah untuk menumbangkan wakil Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinova.

Kian Meng dan Pei Jing menamatkan pertarungan selama 41 minit itu dengan kemenangan 21-12, 21-14 untuk mencongak perhitungan dengan pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Yi Qiong, dalam suku akhir.