Pemain beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mencipta sejarah apabila muncul juara dunia pertama Malaysia selepas mengatasi wakil Indonesia, Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan, dalam saingan Kejohanan Badminton Dunia BWF, sebentar tadi.

Selepas menamatkan badi separuh akhir semalam apabila mengatasi beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, momentum itu lantas menyemarakkan Aaron-Wooi Yik memasang niat memburu gelaran juara dunia buat kali pertama dalam sejarah Malaysia di Pusat Gimnasium Metropolitan Tokyo-- lebih manis lagi tiga hari menuju sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65.





Selepas memperoleh pingat emas dalam acara berpasukan campuran dan pingat gangsa acara beregu Sukan Komanwel Birmingham tempoh hari, Aaron-Wooi Yik, mengharungi perjalanan yang cukup dalam meniti ke final.

Bertemu Setiawan-Ahsan, ia merupakan aksi ulangan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 ke atas gandingan yang diberi julukan 'The Daddies' itu.

Beregu berpengalaman itu terlebih dahulu mendominasi set pertama apabila mengutip mata demi mata menjauhkan kedudukan mereka dengan pasangan Malaysia.

Bagaimanapun, ketenangan yang dipamerkan serta mengambil nasihat pengendali beregu negara, Rexy Mainaky, wakil kebangsaan itu mengejar perlawanan untuk memastikan kemenangan 21-19 set pertama.

Momentum yang dimiliki dengan kemenangan tersebut diteruskan Aaron-Wooi Yik dalam permulaan set kedua sambil Ahsan yang gagal membalas pukulan dengan cemerlang membuka ruang buat pasangan negara mengutip mata.

Saat yang didambakan peminat sukan tanah air tiba apabila Aaron-Wooi Yik berjaya menoktahkan kemenangan 21-14 sekali gus bergelar juara dunia pertama dari Malaysia.