Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meneruskan misi mempertahankan kejuaraan mereka dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF apabila menewaskan juara Sukan Olimpik Dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, dalam pusingan ketiga di Copenhagen sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan berkenaan mara ke suku akhir hasil kemenangan secara set langsung.

Aaron dan Wooi Yik bermula dengan agak perlahan, di mana mereka pada satu ketika ketinggalan 7-13 tetapi selepas itu, beregu juara dunia berkenaan mula mengorak langkah meraih mata demi mata untuk menyamakan kedudukan 15-15 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-16.

Perlawanan pada awalnya berlangsung seimbang dalam set kedua dengan kedua-dua beregu saling bekejaran mata tetapi selepas kedudukan terikat 12-12, pasangan negara itu tidak pernah ketinggalan sebelum menoktahkan pertarungan selama 43 minit itu dengan kemenangan 21-18.

Aaron dan Wooi Yik seterusnya akan menghadapi beregu pilihan keenam dari China, Liu Yu Chen-Ou Cuan Yi, bagi penentuan ke separuh akhir esok.