Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia bersama-sama India, Kazakhstan dan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan, hanya India saja yang mampu mencabar kredibiliti skuad negara kerana mempunyai taruhan dalam kelompok 10 terbaik khasnya dalam perseorangan lelaki, beregu lelaki dan wanita.

Malaysia -- yang kecundang kepada Korea Selatan di peringkat separuh akhir tahun lalu -- mempertaruhkan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao untuk cabaran perseorangan lelaki, manakala Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching menggalas tanggungjawab di bahagian perseorangan wanita.

"Kami akan merencana (persiapan) pada Isnin depan. Kami bertolak pada jam 11 malamnya, jadi kami akan mengadakan kem persiapan pukul 11 pagi itu dan ia mendapat tindak balas positif.




"Pada asalnya kami merencana untuk mengaturkan persiapan bermula esok tapi memandangkan Aaron (Chia)-(Soh) Wooi Yik terlepas sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu, mereka akan menggunakan kesempatan untuk berehat pada minggu ini," kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Manaiky, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Beregu lelaki pula menyaksikan Malaysia mempertaruhkan Aaron-Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sementara beregu wanita pula terdiri daripada M. Thinaah-Pearly Tan serta Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.

"Kemungkinan untuk membentuk gandingan bidan terjun pasti ada. Kami kena tengok berdasarkan pihak lawan, situasi dan keadaannya.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan Rosman (Razak -- jurulatih Ee Yi-Yew Sin)," katanya lagi.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melengkapkan skuad negara dalam edisi kali ini. yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dubai, UAE, dari 14 hingga 19 Februari depan.