Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menganggap pertemuan dengan Singapura dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia sebagai pertarungan memulihkan semula maruah yang tercalar khususnya terhadap juara dunia 2021, Loh Kean Yew.

"Saya berada dalam keadaan yang baik selepas berlatih sejak dua minggu yang lalu dan tidak sabar untuk bertemu Kean Yew," kata Zii Jia.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan semula tahap keyakinan saya. Saya bagaimanapun sentiasa berwaspada mana-mana lawan sekalipun dalam saingan berpasukan."



Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, kurang berpuas hati dengan beberapa aspek di venue pertandingan ketika sesi ujian gelanggang.

Antaranya keadaan jaring yang tidak seimbang selain pencahayaan lampu yang memberikan kesukaran terhadap penglihatan pemain.

Malaysia menggunakan kesempatan sebagai tuan rumah untuk jadi pasukan terawal dibenarkan menguji keadaan gelanggang selama 2 jam di Pusat Konvensyen Setia Alam.

"Terdapat perkara yang perlu diperbaiki terlebih dahulu saingan bermula dan berharap ia dapat diselesaikan," katanya.