Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, tewas kepada Feng Yan Zhe-Lin Fang Ling dari China dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila yang bermula hari ini.

Dalam pertemuan pertama kerjaya di antara kedua-dua beregu itu, kelebihan saling bertukar ganti dengan gandingan Malaysia berjaya mendahului set pertama buat seketika.

Tetapi lawan kerap kali mengekori dengan rapat.

Begitupun, Pang Ron-Yee See akhirnya menutup set pertama 23-21 hasil daripada kesilapan mudah lawan.

Set kedua, lain ceritanya apabila Pang Ron -Yee See ketinggalan 1-9.

Meskipun bangkit untuk mengutip 11 mata lagi, Yan Zhe-Fang Ling ternyata lebih menyerlah untuk merampas set kedua 21-12.




Set ketiga menyaksikan Pang Ron-Yee See kembali mendominasi perlawanan dengan jurang satu mata sahaja untuk memisahkan mereka.

Malangnya, walaupun bertungkus-lumus untuk menoktahkan kemenangan, beregu dari China itu lebih menyerlah untuk ke pusingan kedua menerusi kemenangan 22-20.

Dalam masa sama, tiada masalah buat satu lagi gandingan negara, Shevon Lai-Goh Soon Huat.

Berdepan Bahaedeen Alshannik-Domou Amro dari Jordan, pilihan kelapan itu menawan set pertama dengan mudah 21-9.

Set seterusnya menyaksikan Shevon-Soon Huat meneruskan dominasi di gelanggang terhadap lawan yang menduduki ranking ke-477 dunia itu.

Mendahului sepanjang set kedua, Shevon-Soon Huat membuka jurang sembilan mata pada satu ketika sebelum menutup tirai perjalanan Alshannik-Amro dengan 21-9.

Menanti beregu campuran profesional negara itu dalam pusingan kedua ialah wakil dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Keputusan lain:

Beregu lelaki

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mng Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille 21-9, 21-14

Man Wei Chong-Tee Kai Wun mng Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham 21-16, 17-21, 21-12

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mng He Ji Ting-Zhou Hao Dong 18-21, 21-12, 21-18

Perseorangan wanita
Komang Dewi kk Myisha Khairul 21-18, 21-9

Lee Seo Jin kk Siti Nurshuhaini 21-13, 21-17