Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, tiada masalah mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) untuk bertemu Weng Hongyang dari China buat kali pertama dalam kerjayanya.

Pemain profesional negara itu mudah mendahului set pertama 11-1 dalam kempen di Manila, Filipina,hari ini menerusi penguasaan gelanggang selain kecuaian lawan.

Walaupun Hongyang sempat menghambat kedudukan tapi sekali lagi kesilapan daripadanya menghadiahkan set pertama 21-11 kepada pencabarnya.

Namun, Hongyang tampil sedikit berbeza dalam set kedua apabila lebih garang untuk mendahului pada beberapa ketika meskipun sebanyak satu atau dua mata saja.

Pertarungan kekal sengit hinggalah detik Zii Jia mendahului 17-16, selepas tu dia tidak lagi menoleh ke belakang untuk menang 21-19.

Dalam penentuan gelaran esok, dia bakal bertemu wakil dari Indonesia, Jonathan Christie, yang mengatasi rakan sepasukan, Chico Aura Dwi Wardoyo dalam aksi tiga set.

Dalam separuh akhir beregu lelaki pula yang menyaksikan Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei bertemu senior mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik, perlawanan ini agak seimbang pada awal set pertama apabila membabitkan rali panjang yang menarik.

Namun, semuanya ibarat tidak menjadi buat taruhan kedua kebangsaan itu apabila mereka banyak melakukan kesilapan sekali gus memberi laluan mudah buat Aaron-Wooi Yik dalam set pertama.

Nur Izzuddin-Sze Fei cuba untuk bangkit dengan memberikan aksi yang lebih memberangsangkan tetapi pengalaman memastikan Aaron-Wooi Yik lebih unggul.

Keputusan akhir memihak beregu utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dengan kemenangan straight set 21-13, 21-15 untuk bertemu wakil dari Indonesia.