Pemain beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng, mengakui perlu segera mencari keyakinan diri bersama pasangannya, Lai Pei Jing, menjelang dua pertandingan besar, iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Piala Sudirman.

Sejak menamatkan kemarau gelaran lima tahun dengan memenangi Kejohanan Terbuka Korea setahun lalu, prestasi pasangan negara itu jatuh merudum.

Selepas kejayaan itu, mereka hanya memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel dan layak ke separuh akhir Final Jelajah Dunia BWF tahun lalu dan bagi tahun ini pula, mereka tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam kesemua enam kejohanan yang disertai.

Pun begitu, beregu nombor 13 dunia itu tetap menjadi sebahagian daripada empat beregu campuran yang terpilih untuk memperkuatkan skuad negara dalam Piala Sudirman bulan depan.

"Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memberikan kepercayaan dengan pemilihan ini dan kami perlu mencuba dan menepati pemilihan itu dengan memberikan aksi terbaik kami jika diturunkan.

"kekurangan utama kami adalah konsistensi. Kami terdesak untuk memperbaiki aspek itu. Tahap keyakinan kami tidak di tahap terbaik kerana kami tidak mendapat keputusan yang kami harapkan.

"Kami berharap akan mendapatkan keyakinan itu dalam kejohanan yang akan datang," kata Kian Meng.

Pasangan profesional negara itu berdepan laluan berliku dalam BAC bermula 25 April ini apabila akan berdepan beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, yang memenangi Terbuka Switzerland dengan menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam final baru-barun ini.

Kian Meng dan Pei Jing perlu mempamerkan aksi terbaik mereka dalam kejohanan itu seandainya mahu membuat penampilan dalam Piala Sudirman di Suzhou, China bulan depan.