'Standard pemain Malaysia macam yo-yo', itu yang disifatkan bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock, yang juga panel penasihat teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) susulan persembahan pemain negara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023.

Saingan kali ini menyaksikan hanya satu pasangan beregu lelaki profesional negara berjaya menembusi pentas akhir selain beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya rangkul pingat gangsa selepas tewas di tangan Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China.

"Pemain negara mempamerkan prestasi yang naik turun, seperti yo-yo," kata Ewe Hock.

"Kami akan membincangkan perkara ini dan cuba melakukan sesuatu untuk mengelak daripada perkara ini berterusan."

Tambahnya lagi, prestasi konsisten yang ditampilkan oleh wakil tunggal negara di peringkat final BAC, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin selayaknya diberikan pujian dan sokongan daripada pelbagai aspek.

"Prestasi permainan mereka agak konsisten musim ini. Mereka kerap pergi jauh dalam mana-mana kejohanan yang disertai. Ia adalah satu perkembangan yang bagus buat mereka," katanya lagi.