Enam wakil negara akan meneruskan saingan dalam suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Mengetuai kemaraan itu adalah perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang mudah mengatasi pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, 21-14, 22-20 dalam masa 32 minit.

Zii Jia akan berdepan pemain pilihan kelapan dari Jepun, Kanta Tsuneyama, dalam suku akhir esok.

Turut meneruskan kemaraan adalah beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menewaskan gandingan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek, 21-16 21-19, untuk bertemu pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, bagi penentuan ke separuh akhir.

Dalam pada itu, beregu lelaki pilihan kelapan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menewaskan wakil Korea Selatan, Kang Minhyuk-Kim Wonho, 21-17, 21-17, sambil Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan mara ke suku akhir hasil menumbangkan beregu lelaki Filipina, Christian Bernardo-Paul John Pantig, 21-7, 21-12.

Dalam acara beregu wanita pula, taruhan utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, menepati ramalan ke suku akhir selepas menewaskan beregu Vietnam, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam, 21-13, 23-21.

Melengkapkan aksi wakil negara esok adalah pasangan campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang menumbangkan beregu India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto, 21-18, 21-18.