Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen, secara peribadi mempelawa pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, untuk berlatih bersamanya di Dubai sebagai tanda solidariti terhadap musibah yang menimpa jaguh perseorangan negara itu.

Dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, Axelsen juga lantang mengkritik nasib pemain badminton dunia yang kerap kali tidak dapat pembelaaan sewajarnya.

"Zii Jia sentiasa terbuka untuk menyertai saya di Dubai menjalani latihan. Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku kepadanya dan Goh Jin Wei," kata Axelsen.

"Saya berharap kemelut ini dapat diselesaikan kerana ia bukanlah sesuatu yang harus terjadi dalam sukan badminton, Zii Jia seorang pemain bertaraf dunia dan profesional, dia sentiasa terbuka untuk menyertai saya di Dubai untuk meneruskan latihan.

"Walaupun Zii Jia adalah pesaing saya dalam sukan badminton, kehadirannya membantu saya mahupun dirinya untuk terus berusaha mempertingkatkan lagi mutu permainan dan beraksi di tahap tertinggi. Saya mahu menyaksikan dia kembali ke gelanggang dan meneruskan karier dan mewarnai badminton di pentas antarabangsa."