Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik adalah satu-satunya wakil negara yang masih mengibarkan cabaran di Seluruh England 2024.

Kejayaan ini direkodkan selepas The Chipmunks menyingkirkan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana dalam aksi straight set di pusingan suku akhir untuk menambah head-to-head kepada 5-0.

Namun apa yang menarik perhatian adalah aksi bersahaja Aaron yang menangkis setiap asakan yang dihantar Muhammad Shohibul mahupun Bagas, yang seakan memberi ruang bagi Wooi Yik mengambil giliran untuk berehat seketika.

Aksi ini berlaku pada ketika beregu yang berada di ranking ke-4 dunia ini memimpin set kedua 14-8 – dari situ, Aaron yang kebiasaanya bermain di bahagian hadapan, dilihat memulakan langkah seperti pemain perseorangan dengan lebih dominan ke kiri dan kanan gelanggang, sementara Wooi Yik hanya berjaga-jaga dengan sedikit ke belakang.


Situasi ini menggamatkan Utilita Arena Birmingham, dengan rata-rata peminat badminton yang hadir bersorak dan tertawa dengan gelagat Aaron, malah tidak kurang juga yang tidak henti-henti bertepuk tangan, untuk sekurang-kurangnya tiga mata berturut-turut yang dimatikan Aaron secara solo di gelanggang lawan.

Peminat Aaron dan Wooi Yik di Malaysia yang mengikuti kejohanan ini dari siaran langsung di Astro juga turut terhibur dengan gelagat kedua pemain negara ini. Ada yang berkongsi ciapan dengan pautan video di laman X dan mendapat respon yang positif.



Aksi menghiburkan ini berlangsung dalam satu tempoh dimana Aaron dan Wooi Yik turut merekodkan catatan mata berturut-turut tertinggi mereka iaitu sebanyak 8 mata – sebelum kemaraan ke separuh akhir dimuktamatkan dengan keputusan 21-14, 21-11.

Jika sebelum ini, Aaron dan Wooi Yik tundukkan pasangan Chinese Taipei, Chang Ko-Chi da Po Li-Wei untuk ke suku akhir, seteru mereka di separuh akhir juga dari negara sama iaitu Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan yang menewaskan wakil Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren.