Terjun: Pandelela perlukan gandingan serasi -- Bryan  

Oleh Shaiful Shamsudin 2 Julai 2020 105
Terjun: Pandelela perlukan gandingan serasi -- Bryan  
Bekas penerjun negara, Bryan Nickson, mempunyai perspektif berbeza mengenai taruhan negara dalam acara terjun 10 meter seirama menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2021. 

Baginya, slot itu patut diberi kepada Pandelela Rinong yang bakal memikul beban yang lebih besar berbanding penerjun lain.

"Pandelela boleh (bergandingan) dengan sesiapa pun tetapi berdasarkan pencapaian terbaik, semua orang akan menjurus kepada gandingan Pandelela-Cheong Jun Hoong. 

"Mereka telah memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik, ia pencapaian tertinggi.

"Tetapi daripada segi keserasian dalam kejohanan lain, Mun Yee juga tiada kekurangannya. 

"Yang penting sekarang ini, keselesaan untuk pencapaian yang lebih baik. 

"Mungkin jurulatih atau Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) nampak sesuatu, jadi mahu menampung kekurangan itu.

"Terjunan Pandelela adalah tekal, dia boleh bawa gandingannya untuk beraksi lebih tekal," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz. 




Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Christian Brooker, memberi bayangan bahawa sudah mempunyai perancangan untuk membentuk gandingan terbaik di Jepun pada musim panas tahun depan selepas jurulatih Jun Hoong dari China, Yang Zhu Liang, mahu anak buahnya itu menumpukan perhatian kepada acara individu. 

Baginya, Sukan Olimpik adalah pentas tertinggi buat atlet lantas menuntut elemen tertentu dalam menjayakannya. 

"Berita yang bagusnya, Pandelela dan Mun Yee sangat berpengalaman, mungkin yang paling berpengalaman dalam kem ini. 

"Tekanan di pentas Sukan Olimpik sangat tinggi, pengalaman sangat membantu. 

"Kanada dan China akan mempertaruhkan wakil muda, mungkin pengalaman yang dimiliki Pandelela dan Mun Yee boleh digunakan, mereka mampu menangani tekanan," katanya.  

Rakan sepasukan, Nur Dhabitah Sabri, menganggap gandingan yang disebut-sebut itu mampu menggalas misi negara. 

"Tiada masalah Pandelela dan Mun Yee bergandingan, mereka sudah lama dan pernah bergandingan. 

"Terjun masing-masing juga bagus, jadi tiada apa yang perlu diperbaiki kecuali keserasian," katanya. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment