Kejohanan baru dicetuskan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) iaitu Piala Borneo yang sepatutnya dijadualkan pada Mac lalu akan diadakan tahun depan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata penangguhan itu adalah susulan daripada penularan wabak Covid-19 yang bukan sahaja melanda negeri itu tetapi juga menjejaskan hampir seluruh dunia.

"Dalam jadual sepatutnya ia (Piala Borneo) diadakan pada Mac tetapi kita tidak dapat melaksanakan kejohanan kali pertama itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta masalah Covid-19.

"Bagaimanapun, kita akan lihat keadaan dari semasa ke semasa dan sekiranya tiada halangan ia akan diadakan pada tahun depan, kami akan umumkan nanti sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya, di Kota Kinabalu, semalam.

SAFA sebelum ini mengumumkan penganjuran Piala Borneo yang dijangka akan disertai pasukan daripada Borneo termasuk Sabah, Sarawak, Kalimantan (Indonesia), Brunei dan Labuan akan dijemput.

Peter berkata, kejohanan itu akan membabitkan lapan pasukan dengan empat slot akan diisi oleh pasukan dari luar Sabah.