Manshahar: Kejayaan Irfan bukti keberkesanan program luar negara

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Ogos 2020 105
Manshahar: Kejayaan Irfan bukti keberkesanan program luar negara
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil, menganggap kejayaan atlet lempar cakera, Irfan Shamsudin, dalam kejohanan luar negara harus dipuji atas dasar dedikasi dan inisiatif tingginya dalam memperbaiki pencapaian diri sendiri. 

Atlet berumur 25 tahun itu merekodkan catatan terbaiknya musim ini apabila merangkul pingat emas dalam Kejohanan Velka Cena Lito, Republik Czech selain satu perak dan satu gangsa. 

"Dia telah menyertai tiga kejohanan dan purata lemparannya adalah 56 meter dan yang terakhir, dia melakukan 57.35m. 

"Buat masa ini, catatan terbaiknya adalah 62.55m yang dilakukannya pada 2017. 

"Kita ada kemudahan setanding di luar negara tetapi atlet kita berpeluang bertanding dengan atlet yang berada tahap prestasi tertinggi kalau dibandingkan di negara sendiri," katanya ketika dihubungi. 

Selain memastikan diri untuk berada dalam suasana kompetitif, Manshahar juga berharap jika situasi COVID-19 di seluruh dunia semakin pulih, lebih ramai lagi atlet elit akan disarankan berkelana di luar negara dalam usaha menaik taraf prestasi masing-masing , sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

"Atlet-atlet seperti  Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa  dan Jackie Wong merupakan atlet terbaik negara dan perlu bersaing dan kompetitif bagi membantu meningkatkan prestasi mereka."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment