ISN: 107 atlet bebas Covid-19

Oleh Muzaffar Musa 31 Mac 2020 63
ISN: 107 atlet bebas Covid-19
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, mengesahkan seramai 107, atlet yang menjalani ujian saringan di Bukit Jalil, negatif Covid-19 dan tumpuan selepas ini akan terarah kepada 48 atlet yang sedang berlatih di luar negara.

Seramai 107 atlet menjalani ujian saringan di ISN dan daripada jumlah itu, tiada kes positif Covid-19 direkodkan.

Bagaimanapun, masih terdapat 48 atlet yang masih berlatih di luar negara dengan 25 daripadanya merupakan atlet di bawah Program Podium.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan sedia membantu atlet berkenaan untuk pulang ke Malaysia sekiranya keadaan memerlukan.

Setakat ini, hanya atlet baling tukul besi, Jacky Wong, masih menerima rawatan di Hospital Sibu, Sarawak ekoran positif Covid-19.

"Mereka sebagai atlet di peringkat tertinggi sudah pasti sedar bahawa mereka perlu menjaga diri mereka.

"Gaya hidup sebagai atlet di peringkat tertinggi ini berbeza dengan atlet biasa.

"Setiap elemen hidup mereka sebagai atlet seperti latihan, pertandingan, di luar pertandingan dan di rumah amat diberikan perhatian.

"Ahli sains sukan kami menggunakan beberapa aplikasi untuk membuktikan kami dapat menyampaikan maklumat-maklumat latihan kepada atlet.

"Atlet dan pegawai juga boleh memberikan kami input mengenai latihan melalui aplikasi tersebut sepanjang mereka berada di rumah atau di luar negara.

"Sekiranya ada antara mereka yang mahu pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat ini, proses pertama yang mereka perlu lalui adalah proses kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Sekiranya mereka dari negara-negara yang berisiko tinggi, kemungkinan besar kami akan terus membawa mereka menjalani proses saringan Covid-19," katanya.

Sementara itu, pemanah negara, Haziq Kamarudin, lega apabila disahkan negatif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan di ISN.

Haziq bersama tiga lagi pemanah negara pulang ke tanah air 16 Mac lalu selepas menyertai peringkat pertama Grand Prix Memanah Asia di Bangkok, Thailand.

"Apa yang saya nampak ketika ini, semua rakan-rakan atlet saya menurut perintah kawalan pergerakan yang dibuat oleh kerajaan.

"Jadi, saya yakin mereka boleh menguruskan diri sendiri sepanjang dikuarantin di rumah dengan melakukan aktiviti yang disaran oleh jurulatih mereka.

"Dengan itu, mereka boleh kekal aktif di rumah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sembilan individu yang dikenal pasti oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berada dalam kawasan gimnasium ISN bersama Jackie, disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Menurut Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, kesemua mereka telah menjalani ujian saringan dan sesetengah daripada mereka telah pulang ke rumah untuk menjalani perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April ini.

"Bukan semua tetapi ia hanya mereka yang berada di gimnasium sewaktu atlet baling tukul besi berkenaan berada di sana.

"Jadi, sewaktu itu, ada beberapa atlet dan jurulatih kami berada di sana.

"Semua mereka telah melalui ujian saringan dan didapati tidak dijangkiti," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Comment