Fatehah perlu dibantu lalui pasca persaraan, kata Azizulhasni 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 April 2020 502
Fatehah perlu dibantu lalui pasca persaraan, kata Azizulhasni 
Kehilangan Fatehah Mustapa dalam kem basikal trek negara, pastinya dirasai terutama rakan seperjuangan yang juga sama-sama beraksi di pentas Sukan Olimpik, Azizulhasni Awang, yang tampil dengan kata-kata semangat sambil menyeru pihak berwajib agar membantu pelumba wanita itu.

Fatehah yang sebelum ini meninggalkan banyak persoalan selepas menghantar surat persaraan, akhirnya memuat naik satu kenyataan di laman sosial peribadi -- berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.

Dia mengesahkan persaraannya selepas 17 tahun bergelar atlet sambil melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan, begitu juga pihak Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM). 

"Saya hendak semua orang tahu bahawa ini perkara sesuatu yang mudah. Bayangkan sebagai seorang atlet elit, dia telah mendedikasikan seluruh usianya untuk sukan. 

"Kami telah menghabiskan masa berlatih dari pagi hingga petang, perlu menanggung kecederaan, mengembara, meninggalkan keluarga dan rakan-rakan termasuk mengetepikan kehidupan normal yang dilalui rakan-rakan lain di Malaysia. Kami sebagai atlet elit pula melalui kehidupan yang berbeza. 

"Dalam fasa peralihan ini, ramai yang gagal atau tidak boleh meneruskan hidup. Bukan semua atlet mampu melalui peralihan ini. Terdapat banyak kajian yang melaporkan atlet elit yang bersara menghadapi tekanan, bunuh diri dan menjadi gelandangan. 

"Saya menyeru di luar sana supaya tampil memberi bantuan kepadanya," kata Azizulhasni melalui satu video hari ini.

Tambahnya: "Perkara pertama yang perlu dilakukannya ialah pekerjaan untuk meneruskan kehidupannya.

"Saya, John Beasley (jurulatih negara) dan seluruh pasukan berbasikal trek, kami bagaikan sebuah keluarga dan akan kekal sebegitu. 

"Kalau ada apa-apa masalah dan bantuan yang diperlukan, kami akan sentiasa bantunya.

"Insya-Allah kami semua akan bantu semampu yang boleh.

"Kita merancang tetapi ketahuilah Allah sebaik-baik perancang." 

Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, atlet dari Kampung Langgar, Kuala Berang, itu juga melahirkan rasa bangga diberi peluang untuk mewakili negara di pentas Sukan Olimpik sebanyak dua kali termasuk membawa bendera Malaysia dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014.



Selain keluarga dan pasukan sokongan di Melbourne, Fatehah juga memberikan penghargaan istimewa kepada Beasley yang sudah dianggap seperti bapanya sendiri sepanjang 11 tahun bersama.

Penjelasan Fatehah itu diterima baik pengikutnya dengan mengucapkan terima kasih atas pengorbannanya selama ini.

Tidak kurang juga yang menuntutnya menggunakan pengalamannya bagi melahirkan lebih ramai atlet berbasikal trek wanita negara yang berkelas dunia.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment