13 kejohanan di bawah Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) digantung sementara waktu susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin serius dan statusnya akan ditentukan kelak.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh badan induk itu, ISTAF mengambil serius saranan dibuat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan megambil keputusan drastik menggantung kesemua kejohanan sepak takraw untuk kalendar 2020.

Kejohanan paling hampir adalah Kejohanan Sepak Takraw Asia di Dhaka, Bangladesh 19 Mac ini.

Setakat ini, tiada laporan rasmi membabitkan mana-mana pemain sepak takraw antarabangsa yang dijangkiti virus itu, namun ISTAF enggan mengambil risiko sedemikian.

"Saya memohon setiap pihak yang terbabit untuk bertenang ketika menghadapi Covid-19," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, ketika diwawancara wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

ISTAF akan membuat penilaian semula dalam menentukan status beberapa kejohanan memandangkan kalendar mereka terpaksa dirombak sekurang-kurangnya sehingga Ogos depan.

"Saya berpendapat Kejohanan Dunia yang dijangka dianjurkan hujung tahun ini akan dijalankan seperti yang telah dirancang."