Penyerang utama skuad PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, menyifatkan kariernya baru sahaja bermula dan dia tidak akan mudah berpuas hati dengan pencapaian yang diraih pada waktu ini.

Sebelum ini, Shahrel Fikri muncul selaku pemain tunggal daripada pasukan Liga Perdana untuk menyertai skuad kebangsaan bimbingan Nelo Vingada bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, 5 September lalu.

Ia sekaligus menunjukkan kebangkitan selepas peringkat awal kariernya hampir musnah akibat masalah jantung.

Walaupun ada yang mempersoalkan pemilihannya, dia menjawab segala persoalan apabila mencatat hatrik ketika menentang Felda United dalam saingan suku akhir Piala Malaysia, 15 September lalu.

Tegas Shahrel Fikri, masih banyak kekurangan yang perlu diperbaikinya sambil menamakan jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, sebagai individu yang banyak membantunya meningkatkan prestasi.

"Pada mulanya, saya tidak sedar bahawa saya menghidapi penyakit tersebut dan saya tidak rasa jantung saya bermasalah.

"Dalam pasukan PKNP, semua pemain berusaha bersama-sama, bekerja sebagai satu pasukan dan dari situ, ia telah meningkatkan prestasi saya secara individu.

"Jurulatih banyak memberikan motivasi dan sentiasa meyakinkan saya dengan kemampuan yang ada pada saya tanpa disedari," katanya.

Dalam masa sama, Shahrel Fikri tidak menolak bahawa satu hari nanti dia akan meninggalkan PKNP dan mewakili Perak, namun terlalu awal untuk membincangkannya dengan lebih terperinci.

"Mungkin jika satu hari nanti saya akan mewakili Perak. Kini saya telah mendapat panggilan skuad kebangsaan, jadi segala-galanya baru bermula."