Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengulangi pendirian bahawa pegawai perlawanan profesional tempatan akan mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 yang dijadual berlangsung 2 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid, berkata meskipun prestasi barisan pegawai perlawanan profesional tempatan sering dipertikaikan pihak tertentu, namun laporan penilaian perlawanan oleh penilai pengadil bertauliah membuktikan sebaliknya.

Mengakui masih terdapat elemen yang perlu dipertingkatkan bagi memuaskan hati pelbagai pihak, Md Dali menegaskan antara usaha yang telah dibuat FAM dalam memperkasakan mutu pengadilan adalah keputusan menggunakan enam pengadil FIFA bermula dalam saingan suku akhir yang berakhir minggu lalu.

"Pengadil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pengadil tempatan. Kami tetap akan kekalkan pengadil dari Malaysia dan mereka akan dipilih mengikut prestasi berdasarkan markah dalam laporan penilaian perlawanan.

"Untuk final, kami akan memperhalusi prestasi pengadil dalam aksi separuh akhir nantiā€¦ sama seperti kami menilai mereka (pengadil) dalam empat perlawanan suku akhir sebelum memilih siapa akan dipilih untuk aksi separuh akhir.

"Hanya pengadil berkualiti dan mempunyai prestasi terbaik akan diletakkan untuk mengendalikan perlawanan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Saingan separuh akhir Piala Malaysia yang bermula 13 Oktober ini menyaksikan pertembungan pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2019 di kedudukan empat teratas dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan Selangor sementara Kedah menentang Pahang.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mencipta sejarah apabila buat julung kali melantik pengadil luar dari Jepun, Takuto Okabe, yang dibantu dua penolongnya, Akane Yagi dan Osamu Nomura, untuk mengendalikan final Piala FA 2019, Julai lalu.

Ia sebagai alternatif kepada dakwaan isu mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil tempatan, termasuk dalam final Piala Malaysia 2018 di antara Terengganu dan Perak.

Okabe memperoleh purata antara 8.3 ke 9 daripada keseluruhan 10 markah penilaian dan markah itu sebelum ini turut pernah diperoleh pengadil tempatan ketika mengendalikan perlawanan akhir saingan domestik.

-- BERNAMA