"Saya tidak puas hati!," itu rumusan jurulatih Felda United, B. Sathianathan, meskipun pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan yang diraih Felda menyaksikan mereka kekal berpeluang untuk mencabar Perak yang selesa menerajui Kumpulan B selepas dua perlawanan.

Ini juga kemenangan pertama skuad The Fighters selepas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur dalam aksi pembuka tirai, Selasa lalu.

Felda memerlukan sentuhan penyudah Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-88 untuk mengesahkan tiga mata penuh bagi mengecewakan tuan rumah.

Begitupun, Sathianathan nyata kurang berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya, terutama bolos pada minit terakhir babak pertama.

"Kalau nak pergi jauh dalam saingan liga mahupun Piala Malaysia, kami perlu sajikan permainan lebih baik berbanding malam ini (semalam). Saya tidak puas hati, saya ada banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi masa yang ada tidak cukup.

"Esok (hari ini) kami akan berlatih dan selepas itu akan pergi ke Sarawak (Liga Super), jika kami meneruskan aksi seperti ini, mungkin kami akan balik tanpa sebarang mata," katanya.

Sementara itu, pemangku jurulatih PKNS, Adam Abdullah, menjelaskan dia mempunyai percaturan yang berbeza jika dibandingkan dengan pengendali sebelum ini, E. Elavarasan.

Malah, dia yakin taktik itu hampir memberikan mata buat pasukannya jika tidak kerana sedikit kesilapan pada lewat permainan.

Tumpuan Adam selepas ini sudah pasti pertemuan getir Liga Super menentang Pulau Pinang pada Selasa ini di mana kedua-dua pasukan ini masih bergelut dalam zon penyingkiran.

"Ini adalah latihan terbaik untuk mereka, terutama dalam menguji kecergasan pemain," katanya.

"Pemain terlalu fokus menyerang sehingga terlupa untuk bertahan lalu menyebabkan kami bolos pada minit akhir. Tidak mengapa, kami akan fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya."