Perak hilang dua tonggak tengah lawan Felda United

By Muzaffar Musa 24 September 2020 4136
Perak hilang dua tonggak tengah lawan Felda United
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, akan kehilangan dua tonggak tengah menjelang perlawanan Liga Super menentang Felda United di Ipoh malam esok.

Leandro Dos Santos tidak akan diturunkan kerana menjalani penggantungan perlawanan manakala seorang lagi pemain tengah, Careca, pula berdepan dengan masalah kecederaan.

Selepas cemerlang meraih mata penuh ke atas PDRM dan UiTM FC dalam dua perlawanan terakhir, Durakovic perlu merencanakan percaturan berbeza bagi menentang The Fighters.

Tanpa dua pemain penting itu, pengendali berbangsa Australia berkenaan perlu mempertaruhkan kepercayaannya kepada pemain muda dalam misi menyaingi Kedah dalam perebutan tempat kedua saingan liga musim ini.

"Kecederaan boleh berlaku dan anda perlu membiasakan diri dengannya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Kami sudah mengenal pasti pemain yang kami perlukan dan harap-harap mereka boleh melakukan tugas dengan baik.

"Saya amat gembira dengan prestasi pemain dalam dua perlawanan lalu dan kami tahu ia sesuatu yang mampu Perak lakukan.

"Enam mata dalam dua perlawanan terakhir dan harap-harap ia akan dikekalkan ketika menentang Felda United tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Felda pasukan yang amat bagus dan mereka memperoleh keputusan yang amat baik minggu lalu (seri 2-2 dengan Pahang), jadi ia bukan perlawanan yang mudah kerana mereka juga sedang berjuang (memperbaiki kedudukan).

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik tetapi jika kami dapat mengekalkan permainan seperti dalam dua perlawanan lalu, saya akan gembira dengannya.

"Kami akan melihat dalam sesi latihan bagaimana keadaan semua pemain.

"Saya akan menentukan pasukan sebelum perlawanan bermula dan ia adalah seadanya.

"Ia peluang untuk pemain lain yang terpilih untuk membuktikan apa yang mereka mampu lakukan.

"Harap-harap kami dapat beraksi baik ketika menentang Felda dan meningkat dalam kedudukan liga," katanya.

About Author

Muzaffar Musa

Comment