Kuala Lumpur berada dalam kedudukan bahaya untuk persaingan mengelak penyingkiran daripada Liga Super selepas tewas 0-1 kepada Melaka di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap pasukan kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt, pada minit ke-43.

Kuala Lumpur turun berdepan Melaka dengan misi mengutip tiga mata penuh bagi menjarakkan kedudukan daripada zon penyingkiran liga.

Mempertaruhkan barisan terkuat dalam aksi di laman sendiri, skuad Warga Kota itu, bagaimanapun, beraksi hambar susulan kegagalan mencipta peluang jaringan.

Sebaliknya, pasukan pelawat tampil menyerlah dan berjaya memecah kebuntuan menerusi Reichelt yang bijak menyempurnakan hantaran Davy Angan pada minit ke-43.

Mendahului tuan rumah 1-0 dalam babak pertama, Melaka berpeluang menggandakan kelebihan tujuh minit selepas rehat, namun percubaan Angan terkena tiang gol.

Kuala Lumpur yang terdesak mencari kemenangan, dihidangkan peluang keemasan pada minit ke-55, namun percubaan Indra Putra Mahayuddin dinafikan Khairul Fahmi Che Mat.

Terus buntu mendapatkan gol, tuan rumah akhirnya terpaksa berputih mata menyaksikan kedudukan 0-1 memihak Melaka sehingga tamat sepenuh masa.

"Kami telah berusaha untuk mengikut perancangan yang telah ditetapkan tetapi apabila masa semakin suntuk, pasukan semakin terdesak dan gagal untuk bermain dengan cemerlang," kata jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt.

"Keserasian pemain-pemain beraksi di atas padang merupakan kunci kejayaan Melaka dalam perlawanan dan kami berharap ia dapat dijelmakan dalam perlawanan berikutnya," kata jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.