Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, kesal mereka dihukum sepakan penalti pada lewat permainan untuk juara bertahan itu sekadar seri 1-1 dalam aksi dramatik di Brighton & Hove Albion, malam tadi.

Jaringan Diogo Jota pada minit ke-60 -- gol kelapannya dalam lapan penampilan terakhirnya bersama The Reds -- meletakkan pelawat menuju puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan jurang tiga mata.

Namun, selepas campur tangan video bantuan pengadil (VAR) yang menbatalkan gol Mohamed Salah dan Sadio Mane, skuad kendalian Jurgen Klopp itu sekali lagi tersentak dengan keputusan teknologi berkenaan pada masa kecederaan.

Andy Robertson dikesan menjatuhkan Danny Welbeck dan walaupun pengadil, Stuart Attwell, pada awalnya tidak melihat kekasaran itu, dia kemudianb mengubah fikirannya sebaik menilainya di monitor di tepi padang.

Selepas kegagalan Neal Maupay dalam babak pertama -- memulakan permainan, kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum ditukarkan untuk muncul pemain EPL pertama selepas pemain Arsenal, Dennis Bergkamp, melakukannya pada April 1998 -- tetapi kali ini Pascal Gross tidak mengulangi kesilapan rakan sepasukannya itu untuk mereka berkongsi satu mata.

Lantaran itu, Liverpool sudah tercicir enam mata ketika di landasan kemenangan musim ini, lebih banyak daripada yang mereka lakukan sepanjang 2019-20 (lima), tetapi bagi Henderson -- yang menyaksikan jaringan kemenangannya dalam 'derby Merseyside', Oktober lalu, turut tidak diiktiraf -- ternyata tidak berpuas hati dengan sepakan penalti yang diberikan kepada tuan rumah.

Walaupun Klopp secara diplomatik mengatakan bahawa "ia satu keputusan yang tepat', Henderson berkata kepada BT Sport: "Kemenangan sepatutnya memihak kami. Pada pengamatan saya, kami sepatutnya meraih tiga mata.

"Saya telah melihat rakaman ulangannya. Siapa yang akan gembira? Ia bukan penalti. Rasanya kami sudah membincangkan kejadian ini setiap minggu. Saya tidak mahu mencetuskan masalah tetapi bagi saya itu bukan penalti.



"Danny Welbeck sendiri mengatakan kepada saya bahawa ia bukan penalti. Terdapat empat atau lima pemain Brighton lagi yang turut berasakan sedemikian.

"Untuk menjatuhkan hukum, ia harus terang dan jelas. Adakah hukuman itu terang dan jelas selepas menilainya menerusi VAR? Ternyata pengadil lebih mengetahuinya daripada kami, tetapi saya fikir kami beraksi cemerlang hari ini dan berhak memungut tiga mata.

"Beberapa gol kami telah dikira ofsaid. Secara keseluruhan, kami harus bersikap positif dan tidak mempamerkan prestasi buruk memandangkan pada pendapat saya keputusan adalah tidak tepat.

"Kami lebih suka ditewaskan dengan dua atau tiga gol daripada berakhir seperti ini. Dua mata kami telah dirampas."

Walaupun Henderson mendedahkan bahawa Welbeck mengakui itu bukan penalti, bekas penggempur Manchester United dan Arsenal tersebut nampaknya mengambil sikap yang berbeza.

"Kami berusaha bertahan, kami tahu kami akan mencipta beberapa peluang dan pada akhirnya kami mendapat penalti yang agak lembut tetapi kami akan tetap mengambil kesempatan seperti ini," katanya kepada BT Sport.

"Dalam perlawanan hari ini, dengan bantuan VAR, saya telah menyentuh bola di hadapannya dan ingin melepasinya tetapi pemain lawan menendang saya lalu merampas bola.

"Pengadil telah merujuk kepada VAR dan memuktamadkan keputusannya."