David de Gea percaya Manchester United lebih berhak untuk menang berbanding Chelsea selepas mereka mengharungi aksi seri yang hambar awal pagi tadi.

Rekod tanpa kemenangan United di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dilanjutkan kepada perlawanan yang kelima -- rentetan paling panjang mereka sejak Februari 1990 -- selepas gagal menembusi pertahanan lawan.

Penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy, mempamerkan beberapa tampanan cemerlang untuk menafikan percubaan Marcus Rashford, termasuk pada penghujung permainan, dan turut percubaan daripada Bruno Fernandes.



Ia menyaksikan pemain kebangsaan Senegal itu menjadi penjaga gol pertama Chelsea yang berjaya tidak dibolosi oleh United sejak Thibaut Courtois pada Disember 2015.

De Gea berasakan pasukannya kecewa dengan satu mata, menyaksikan mereka sekadar di tangga ke-15 selepas lima perlawanan.

"Bagi saya, kami telah cuba melakukan peluang secukupnya untuk menang. Ia merupakan perlawanan sengit antara dua pasukan berkualiti, tetapi saya berasakan kami lebih berhak menang," katanya kepada MUTV.

"Saya berasakan kami memiliki dua atau tiga peluang terhidang. Terutama sekali menerusi percubaan Rashy, tetapi penjaga gol telah menafikannya."


"Ia merupakan perlawanan yang sukar dan kami akan cuba melihat ke hadapan untuk aksi seterusnya."