Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menafikan Dean Henderson mahukan perpindahan secara pinjaman Januari depan sambil mendedahkan Paul Pgba mungkin akan diturunkan semula ketika berdepan Instanbul Basaksehir dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Hujung minggu lalu, The Sun melaporkan bahawa penjaga gol, Henderson, mahukan satu lagi perpindahan secara pinjaman bagi membolehkan dirinya terpilih dalam skuad England menjelang Euro 2020 tahun depan.

Henderson cemerlang bersama Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu tetapi bersetuju menandatangani kontrak jangka panjang bersama United selepas kembali ke Old Trafford.

Pemain berusia 23 tahun itu hanya diturunkan beraksi dalam dua perlawanan Piala EFL dan satu penampilan UCL di Istanbul sepanjang musim ini memandangkan David de Gea masih menjadi pilihan utama di posisi itu.

Henderson dijangka akan diturunkan ketika United membawa misi membalas dendam ke atas juara Turki itu dalam perlawanan Kumpulan H awal pagi esok dan Solskjaer berkata penjaga gol itu akan diberikan lebih peluang selepas ini.

Dia berkata dalam sidang media: "Dean mahu kekal di Man United dan bermain untuk Man United.

"Saya tidak nampak di mana logiknya dia hanya akan bermain satu lagi perlawanan sebelum Krismas. Anda sedar berapa banyak perlawanan yang kami ada?

"Dia berlatih dengan baik. Dia ada potensi untuk menjadi antara yang terbaik. Saya tidak mahu terima alasan seperti itu untuk menentukan dia akan diturunkan atau tidak (awal pagi esok)," katanya.

Terdapat lebih persoalan mengenai spekulasi berkaitan Pogba selepas pemain tengah itu tidak tersenarai ketika United menewaskan West Brom 1-0 hujung minggu lalu, yang dikatakan Solskjaer berpunca daripada kecederaan.

Pemain kebangsaan Perancis itu mungkin akan diturun di Old Trafford bagi melayani pasukan yang menewaskan mereka 1-2 di laman mereka awal bulan ini.

Jesse Lingard pula tidak tersenarai kerana perlu menjalani pengasingan kendiri selepas menjadi kontak rapat seorang individu yang didapati positif koronavirus.

Ditanya mengenai tahap kecergasan Pogba, Solskjaer berkata: "Kami harap dia dapat diturunkan. Kami akan melihat laporan esok. (Luke) Shaw, (Phil) Jones tidak tersenarai. Lingard pula menjalani pengasingan kendiri kerana menjadi kontak kes positif."