Tottenham pecat Jose Mourinho

By Ammar Hakim 19 April 2021 8224
Tottenham pecat Jose Mourinho
Jose Mourinho telah dipecat Tottenham Hotspurs hari ini setelah dibawa masuk berbincang dengan pihak kelab, perkara itu disahkan The Telegraph.

Tempoh pimpinan Mourinho bersama Spurs berakhir selepas pengerusi kelab, Daniel Levy, mengambil tindakan drastik selepas deretan keputusan mengecewakan bagi separuh kedua musim 2020-21.

Mourinho telah dipecat Tottenham setelah dipanggil untuk berbincang sebentar tadi, kurang dari seminggu sebelum final Piala Carabao.

Difahamkan, jurulatih pasukan pertama, Ryan Mason dan Chris Powell akan bertugas sebagai pengendali sementara bagi bakimusim ini.

Hasil seri Tottenham 2-2 di Everton Sabut lalu meletakkan mereka ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) lima mata ketinggalan daripada slot ke Liga Juara-Juara (UCL), dan Levy telah memutuskan waktu buat pengendali Portugal itu sudah berakhir.

Mourinho dan Spurs banyak kehilangan mata ketika mendahului perlawanan berbanding mana-mana kelab yang bersaing dalam EPL serta mengalami masalah bilik persalinan bersama barisan pemainnya.
 

Dilantik sebagai pengganti Mauricio Pochettino November 2019, Mourinho membimbing Tottenham ke kedudukan keenam pada musim pertamanya.

Tottenham kembali ke aksi liga awal pagi Khamis menentang Southampton.

Mereka juga akan turut beraksi dalam final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley Ahad ini, dalam misi meraih trofi pertama kelab sejak mereka memenangi pertandingan sama pada tahun 2008.
   

About Author

Ammar Hakim

Comment